17 MAC : Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri yang bakal disambut minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata diskaun itu akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis).
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.
“Inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, inisiatid itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA).
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyenaraikan inisiatif kerajaan dalam melindungi kebajikan rakyat, khususnya sepanjang Ramadan dan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan,
Antaranya pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026 dan bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion.
Selain itu, penyaluran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan takmir di negara ini.
Beliau juga menyenaraikan peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi, pelaksanaan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan serta larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia.
