Anwar berjaya batal saman Waytha cabar lantikan sebagai PM
18 MAC : Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membatalkan saman pemula difailkan bekas menteri, P. Waytha Moorthy yang mencabar pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut kerana sebarang isu membabitkan pilihan raya perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya selaras dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hujah dikemukakan sepanjang prosiding dan kegagalan plaintif membuktikan asas tuntutannya.
Mahkamah turut memerintahkan Waytha Moorthy membayar kos sebanyak RM80,000 kepada defendan.
Waytha Moorthy memfailkan saman itu tahun lalu yang mendakwa pelantikan Anwar pada 24 November 2022 tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Beliau juga mempertikaikan kelayakan Anwar untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).