18 MAC : Kementerian Pertahanan memaklumkan dua kapal tentera Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan berada di Pulau Pinang baru-baru ini hanya singgah sementara (port of call) bagi urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia bukan perkara baharu dan merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan.
Menurutnya, persinggahan sementara kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia sudah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
“Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.
“Tujuan utama port of call adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tentang kehadiran dua kapal Tentera Laut AS, USS SANTA BARBARA (LCS 32) dan USS TULSA (LCS 16) di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac 2026.
Menurut Mohamed Khaled, Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.
Jelasnya, setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia.
“Port of call seperti ini juga berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan.
“Bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.
Katanya, sepanjang tahun 2025, Malaysia menerima 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan antaranya Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan AS.