PM puji ikhtiar damai 30 NGO Islam, Hindu
19 MAC : Perdamaian yang dicapai badan bukan kerajaan (NGO) melibatkan badan Islam dan Hindu merupakan cerminan kematangan rakyat di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat Malaysia lebih memilih jalan damai dan menolak perpecahan yang menggambarkan ruh serta jiwa sebenar negara ini.
“Saya menyambut baik ikhtiar perdamaian oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili badan Islam dan Hindu yang menjadi suatu cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati.
“Inilah ruh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum.
“Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Anwar menyampaikan penghargaan terhadap semua pihak yang menjayakan usaha itu.
“Salut saya kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjayakan usaha ini.
“Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” katanya.
Terdahulu, 30 NGO yang mewakili kaum Melayu dan India bertemu dalam program Harmoni MADANI bagi mencari titik perdamaian dalam kemelut antara kedua-dua kaum itu.
Ini termasuk melibatkan isu pembinaan rumah ibadat tanpa izin serta perbalahan hangat di media sosial.