24 MAC : Malaysia menzahirkan pendirian tegas kepada New Zealand mengecam serangan ketenteraan yang berlaku terhadap Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pendirian itu kepada rakan sejawatnya, Christopher Luxon.
Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera dan segera kembali ke meja rundingan.
“Sewaktu perbualan telefon dengan rakan sejawat saya dari New Zealand, Christopher Luxon, kami bertukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global.
“Saya menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran, serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan melalui saluran diplomasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kesan konflik berkenaan terhadap sektor tenaga New Zealand, termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik.
Anwar turut menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu.
Pada masa sama, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga.
“Kami akan terus berhubung rapat dalam mendepani cabaran semasa demi kepentingan bersama,” katanya.