25 MAC : Kerajaan MADANI kekal komited untuk melindungi kesejahteraan rakyat meski keadaan pasaran minyak global tidak menentu.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan program BUDI MADANI RON95 dan BUDI Diesel tetap diteruskan untuk rakyat yang layak.
Menurut MoF, seiring aspirasi Ekonomi MADANI, kerajaan akan terus memastikan manfaat dikembalikan kepada rakyat dengan dilindungi daripada tekanan kenaikan kos bahan api.
“Walaupun Malaysia ialah negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik tetap dipengaruhi pasaran global kerana sebahagian besar bekalan diperoleh dari pasaran antarabangsa.
“Antara langkah yang diambil bagi melindungi rakyat adalah melalui BUDI95 di mana rakyat yang layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, dengan beban subsidi kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.
“Bantuan diesel individu dipertingkatkan apabila kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 pada bulan Mac 2026, berbanding RM200 sebulan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MoF berkata pemantauan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil serta membendung ketirisan juga penyalahgunaan subsidi termasuk di kawasan sempadan.
Kerajaan juga memperketat kawalan penjualan dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus berkuat kuasa, manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas juga tidak dibenarkan, menurut MoF.
Selain itu, kata MoF, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel, terutamanya di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani risiko ketirisan.
“Kerajaan MADANI akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara,” kata MoF.
