25 MAC: Malaysia mengalu-alukan tawaran Pakistan untuk menjadi pengantara kepada dialog konstruktif antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin meruncing di rantau itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri sAnwar Ibrahim berkata tawaran tepat pada masanya itu wajar dipuji, khususnya ketika rantau berdepan situasi yang semakin meruncing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta pemimpin negara sahabat lain yang tampil mengambil tanggungjawab bagi membuka ruang rundingan, selain mengiktiraf usaha terdahulu oleh kepimpinan Oman dan beberapa negara lain.
Menurut beliau, hubungan Pakistan dengan pihak berkaitan serta kedudukannya sebagai suara yang berpengaruh dalam dunia Islam meletakkan negara itu pada posisi kukuh untuk membantu mewujudkan keadaan yang kondusif bagi rundingan bermakna.
“Malaysia menyokong penuh inisiatif ini dan mengesa AS serta Iran khususnya agar menyahut tawaran ini dengan jiwa yang besar demi keamanan dunia.
“Saya menelusuri perkembangan ini dengan penuh cermat namun masih menganggap ada ruang diplomasi yang perlu dimanfaatkan. Maka ruang yang ada ini wajar menjadi wahana serius dan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan sebarang rundingan perlu digerakkan atas paksi kejujuran serta komitmen yang jitu untuk menoktahkan konflik dan bukannya sekadar taktik atau helah untuk melanjutkan peperangan.
“Komuniti antarabangsa telah menyaksikan pelbagai siri gencatan senjata yang acapkali menjadi taktik untuk melengahkan konflik dan bukan menjadi penyelesaian mutlak.
“Walhal, rantau ini berhak menikmati keamanan yang berkekalan,” katanya.
Pada masa sama, Malaysia mengangkat tegas hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya sebagaimana dijamin undang-undang antarabangsa, terutamanya saat Iran dan Lubnan dihujani misil serta peluru berpandu Israel.
Beliau menggesa semua pihak agar lebih cermat dan memastikan masyarakat serta bangunan dan infrastruktur negara-negara jiran tidak diserang.
“Rantau teluk dan dunia punyai kepentingan ekonomi dan sosial serta kestabilan jangka panjang. Justeru itu, rakyat mereka tidak seharusnya menanggung kesan dari tindakan yang ditentukan di luar lingkungan mereka.
“Sementelah itu, adalah menjadi satu kebimbangan tatkala sebahagian pendukung tegar tatanan antarabangsa dilihat mengamalkannya secara selektif,” katanya.
Tegasnya, undang-undang antarabangsa tidak wajar dijungung dengan sikap sebegitu dan ia tidak wajar diperalat untuk melindungi satu pihak daripada pertanggungjawabansambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri.
“Kredibiliti dan ketegasan undang-undang antarabangsa bergantung kepada sejauh mana kita bersikap adil dalam menjunjungnya,” katanya.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Anwar berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), selain Türkiye, Mesir, Indonesia, Jepun dan Pakistan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi semasa serta menggesa usaha meredakan ketegangan.
Katanya, Malaysia akan terus mendukung setiap usaha yang menjamin keadilan dan keamanan sejagat.