25 MAC : Ahli perniagaan yang dikaitkan dengan isu mafia korporat, Victor Chin didakwa menggunakan strategi kotor untuk mendapatkan suaka politik di United Kingdom (UK).
Mendedahkan perkara itu secara terbuka hari ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.Ramanan berkata Victor menunjukkan kononnya dia mangsa.
Ramanan berkata, Victor yang kini berada di luar negara sengaja mencipta naratif kotor untuk mencemarkan imej PKR, ahli Parlimen parti dan Kerajaan MADANI.
“Semua itu, ia adalah strategi bagi menunjukkan dia adalah mangsa supaya dia boleh mendapat suaka politik di UK.
“Sebab itulah dia salahkan semua…Kalau kamu tidak membuat apa-apa kesalahan, pulanglah untuk disiasat. Jangan duduk di luar..buat tuduhan liar untuk memburukkan orang.
‘’Kalau ada bukti tunjukkan bukti. Ini bukan satu gelanggang jenaka, bila anda mahu keluarkan kenyataan macam ni, anda keluarkan sesuka hati anda. Saya telah mengarahkan ahli-ahli PKR khususnya di Sungai Buloh untuk membuat laporan polis, biar polis yang siasat,’’ katanya pada sidang media, hari ini.
Semalam Victor melalui satu dokumen setebal 40 muka surat mendakwa ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah ahli perniagaan itu.
Dia mendakwa terpaksa membayar RM9.5 juta kepada ahli Parlimen tersebut pada 18 Oktober tahun lalu dan mengancam akan mendedahkan nama ahli politik itu jika gagal memulangkan wang tersebut menjelang 30 Mac.
Pada sidang media sama, Ramanan turut mempersoalkan tindakan Victor seolah-olah mahu menjatuhkan kerajaan melalui tuduhan-tuduhan liar itu.
“Victor Chin sebelum ini kata polis memburunya, kemudian Bank Negara Malaysia (BNM) dan kini mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR pula terlibat. Setiap hari ceritanya berbeza,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramanan menolak dakwaan kononnya Victor sebagai mafia korporat.
“Banyak dakwaan yang dibuat mengatakan beliau adalah korporat mafia. Saya nak betulkan dia bukan mafia korporat.
“Kalau kita baca dalam Internet, mafia ini ada kod etika dan prinsip, tapi Victor Chin adalah ‘devil corporate’ (syaitan korporat), Dia tidak ada belas ihsan.
“Yang kelakar individu-individu di luar sana, mainkan seperti dia ini malaikat, (sedangkan) beribu-ribu orang yang hilang simpanan untuk kelangsungan hidup disebabkan manipulasi saham oleh beliau,” katanya.