25 MAC : Kerajaan menyelaraskan harga bahan api secara berperingkat di Semenanjung Malaysia susulan konflik Asia Barat berlarutan sejak penghujung Februari lalu yang melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus (%).
Kementerian Kewangan (MoF) berkata pelarasan harga itu bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini.
“Konflik Asia Barat yang berlarutan telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40% hingga melepasi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.
“Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk melindungi rakyat, manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM) terdapat kenaikan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh tersebut.
RON97 naik kepada RM5.15 seliter (harga 25 Mac 2026: RM4.55 seliter), RON95 tanpa subsidi RM3.87 seliter (harga 25 Mac 2026: RM3.27 seliter) dan diesel Semenanjung RM5.52 seliter (harga 25 Mac 2026: RM4.72 seliter).
Sementara itu, harga diesel di Sabah Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter manakala RON95 bersubsidi (BUDI95) RM1.99 seliter.