27 MAC : Pelarasan had kelayakan kuota BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan susulan konflik Asia Barat yang meruncing tidak memberi kesan kepada majoriti rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata data menunjukkan 90 peratus (%) rakyat menggunakan petrol secara purata 100 liter sebulan.
“Berita baiknya majoriti rakyat tidak terkesan langsung dengan perubahan ini. Ini bermakna, kehidupan harian majoriti besar rakyat (9 daripada 10 orang) akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kos tambahan.
“Pemandu e-hailing juga tidak perlu risau kerana kuota mereka dikekalkan pada 800 liter sebulan demi kelangsungan rezeki mereka.
“Bagi 10% pengguna yang mencatatkan penggunaan lebih daripada 200 liter sebulan, saya menyeru kita semua untuk melihat penyelarasan ini sebagai satu dorongan ke arah gaya hidup yang lebih lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini susulan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Anwar dalam Perutusan Khasnya lewat petang semalam berkata kerajaan terpaksa tangani kesan daripada sekatan di Selat Hormuz, peperangan dan bekalan minyak serta gas yang terhenti meski keadaan Malaysia jauh lebih baik kerana keupayaan Petronas selama ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Kerajaan MADANI sudah melakukan yang terbaik dengan menyerap kenaikan harga dunia supaya kos sara hidup anda tidak terjejas secara drastik.
“Kini, tiba masanya untuk kita semua memainkan peranan. Mari kita jadi masyarakat yang lebih jimat cermat dan bijak menguruskan penggunaan petrol kita. Langkah ini adalah sementara sehingga keadaan dunia kembali stabil.
“Inilah kekuatan Malaysia MADANI. Ketika negara lain terpaksa melepaskan beban kepada rakyat, Malaysia memilih untuk melindungi. Kerajaan MADANI bertindak sebagai payung melindungi ketika ribut melanda.
“Rakyat pula menjadi kekuatan, memastikan payung ini terus kukuh dan memberi manfaat kepada seluruh keluarga besar Malaysia,” katanya.
Saifuddin berkata meski harga BUDI95 di pam minyak kekal RM1.99, kos sebenar subsidi yang perlu dibayar kerajaan meningkat secara mendadak hingga enam kali ganda daripada RM700 juta kepada RM4 bilion setiap bulan.
“Sebagai sebuah keluarga besar, kita perlu membuat pilihan yang bijak. Kita tidak boleh membiarkan RM4 bilion wang rakyat terbakar di atas jalan raya setiap bulan.
“Wang penjimatan subsidi itu amat diperlukan untuk membina lebih banyak sekolah, menaik taraf hospital dan memberikan bantuan tunai terus kepada rakyat yang lebih memerlukan,” katanya
Dalam pada itu, Saifuddin menasihatkan golongan berpendapatan sederhana agar berbelanja dengan lebih berhemah ketika negara sedang menguruskan kesan krisis global itu.
“Susun semula perjalanan anda, kurangkan pemanduan yang tidak perlu, amalkan perkongsian kereta (carpool) atau gunakan kemudahan pengangkutan awam.
“Sedikit pengorbanan daripada kita semua membawa penjimatan yang besar buat kelangsungan hidup rakyat yang lebih memerlukan,” katanya.
