28 MAC : Tujuh kapal tangki Malaysia terkandas di Selat Hormuz sedang menanti kebenaran untuk berlayar melalui kawasan itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Iran memberi jaminan tiada masalah untuk membenarkan kapal Malaysia melalui selat terpenting itu.
“Saya telah membuat langkah rundingan awal bersama rakan sejawat saya, perkara ini disusuli dengan panggilan oleh Perdana Menteri kepada Presiden Iran yang menguatkan lagi permohonan kita.
“Iran menyatakan tiada isu untuk membenarkan kapal kita melaluinya dan buat masa sekarang ini yang dilepaskan adalah kapal yang membawa kargo. Bagi kapal tangki, perlu tunggu dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Rantau, hari ini.
Katanya, tujuh kapal tangki itu melibatkan Petronas (3), MISC (2) dan satu masing-masing milik Sapura Energy dan Syahpadu Corporation Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, isu komunikasi menyebabkan pergerakan kapal perlu ditangguhkan sementara.
“Di Selat Hormuz itu keadaan amat tegang, semua nak keluar dan jika komunikasi tidak dibuat dengan baik boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku.
“Kapal-kapal ini tak ditahan, tapi menunggu ‘on’ saja kerana arahan dari Tehran itu kadang-kadang tidak sampai kerana dalam keadaan perang, sistem komunikasi itu sangat sukar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kebenaran dijangka akan diberi pada bila-bila masa.