28 MAC : Kerajaan melalui Kementerian Kewangan sedang meneliti kerangka cadangan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mencari mekanisme terbaik pelaksanaannya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata beberapa model sedia ada termasuk BUDI MADANI RON95, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) turut diambil kira sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya.
Armizan berkata pelaksanaan subsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan memerlukan penelitian lebih mendalam berikutan kebergantungan tinggi terhadap diesel serta cabaran geografi juga kos logistik.
“Kos pengangkutan barangan melalui laut dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding sebahagian besar laluan perdagangan utama di rantau ini seperti China dan India.
“Keadaan ini menyumbang kepada jurang harga barangan yang ketara susulan kos logistik dan kebergantungan kepada import,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil kerana terus melaksanakan pemberian subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Dasar kerajaan adalah jelas iaitu melaksanakan reformasi dalam penyaluran subsidi melalui penyasaran subsidi supaya pengagihan lebih berkesan dan sampai kepada golongan sasar.
“Memandangkan ini satu pembaharuan besar, pelaksanaannya perlu dirangka dengan teliti serta dilaksanakan secara berfasa,” katanya.
Armizan turut menepis persepsi kerajaan tidak lagi menyalurkan subsidi diesel kepada Semenanjung Malaysia.
“Subsidi diesel masih disalurkan secara bersasar melalui SKDS dan BUDI MADANI kepada sektor pengangkutan darat, pengangkutan barangan serta kumpulan sasar tertentu,” katanya.