31 MAC : Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang antara 4 hingga 5 peratus pada 2026.
Pertumbuhan itu didorong perbelanjaan isi rumah kekal kukuh, peningkatan pelaburan, eksport yang terus berkembang serta prestasi sektor pelancongan yang stabil.
Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata Malaysia memasuki 2026 dengan asas ekonomi yang kukuh disokong permintaan dalam negara yang baik, kadar inflasi yang sederhana serta sistem kewangan yang stabil walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi.
““Dari sudut pemacu pertumbuhan, perbelanjaan isi rumah kekal sebagai tonggak utama. Prospek pendapatan adalah positif, disokong oleh peningkatan pendapatan yang berterusan.
“Pasaran buruh juga kekal stabil, dengan kadar pengangguran dijangka berada berhampiran paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu sekitar 2.9 peratus. Pada masa sama, pelbagai dasar bersasar terus dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Dialog Tahunan Bank Negara Malaysia di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, sektor luaran negara dijangka kekal kukuh walaupun berdepan tekanan daripada konflik di Timur Tengah dan ketidaktentuan berkaitan tarif perdagangan.
“Bagi pelaburan, perkembangan adalah menggalakkan apabila kelulusan pelaburan meningkat kepada RM427 bilion pada tahun 2025 manakala kadar pelaksanaan projek pembuatan kekal tinggi sekitar 85 peratus.
“Dasar yang jelas, insentif pelaburan, pelbagai rantaian bekalan infrastruktur kukuh serta tenaga kerja berkemahiran tinggi terus menjadi faktor tarikan utama pelabur. Pengembangan kapasiti sektor swasta kini semakin rancak, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Katanya, kemajuan di bawah pelan induk nasional serta pelaburan awam berskala besar, termasuk dalam tenaga boleh baharu dan pengangkutan akan terus mengukuhkan keupayaan ekonomi negara pada masa depan.
“Dari segi perdagangan, pertumbuhan eksport sebenar dijangka sederhana pada kadar 2.8 peratus berikutan persekitaran luaran yang mencabar,” katanya.