1 APR : Kerajaan MADANI mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada kadar RM300 sebulan bagi April 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bantuan itu akan disalurkan bermula 8 April ini.
“Dalam suasana pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu, Kerajaan MADANI mengambil langkah tegas bagi melindungi rakyat dengan mengekalkan bantuan BUDI Diesel pada kadar RM300 sebulan bagi April 2026.
“Kementerian Kewangan memaklumkan bantuan tambahan interim RM100 diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Bantuan itu bakal memanfaatkan kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta.
Dalam pada itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan peka dan prihatin terhadap tekanan yang dihadapi rakyat susulan kenaikan harga bahan api global.
Langkah itu dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pengguna diesel khususnya individu serta sektor agri-komoditi supaya terus menerima sokongan serta melindungi mereka daripada terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga bahan api global, kata kenyataan itu.
Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, BUDI Diesel sudah membantu meringankan kos sara hidup dengan jumlah bantuan tunai mencecah RM1.12 bilion.
Pendekatan bersasar itu menurut MoF bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan sambil mengekalkan disiplin fiskal negara dalam keadaan tekanan global yang berterusan.
“Selain langkah interim ini, kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus memanfaatkan rakyat.
“Kerajaan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi,” menurut MoF.
Selain itu, bagi membendung penyelewengan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar langka penguatkuasaan terus dipertingkat.
Permohonan BUDI Diesel dibuka sepanjang tahun melalui laman sesawang rasmi https:budidiesel.gov.my
