1 APR : Sebuah Pusat Arahan Komunikasi akan ditubuhkan bagi menyelaras komunikasi kerajaan berkait krisis global dan krisis rantau ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata penubuhan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menurutnya, pusat yang akan beroperasi di bawah kerangka Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Pada peringkat awal kemungkinan taklimat diadakan setiap hari bermula jam 4 petang.
“Ia bertujuan menyelaras aspek komunikasi kerajaan, terutama berkaitan respons dan langkah yang diambil oleh kerajaan serta agensi berkaitan susulan krisis tenaga global dan situasi konflik di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Selain itu, beliau juga memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu kesemua menteri besar dan ketua menteri, esok berkait kesan krisis Asia Barat.
Menurutnya, pertemuan itu dijangka bagi membincangkan perkembangan situasi terkini berkait tenaga, bekalan dan ekonomi domestik.
“Beberapa perkara akan dibincangkan dan langkah-langkah yang sesuai akan diteliti.
“Selepas mesyuarat itu, maklumat mengenai hasil atau keputusan yang dicapai akan dimaklumkan kepada umum,” katanya.