Krisis global: Malaysia perlu siapsiaga, berani buat keputusan
1 APR : Persekitaran global yang mencabar hari ini menuntut Malaysia untuk bersiapsiaga, berani membuat keputusan dan memiliki dasar yang jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, malam tadi.
“Alhamdulillah, malam ini saya berkesempatan menghadiri Forum Ilmuan Malaysia MADANI, wadah penting untuk menghimpunkan pandangan kerajaan, akademia dan sektor profesional dalam membahaskan isu-isu mendesak negara secara terbuka dan berfakta.
“Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, khususnya akibat krisis tenaga global, kita kini memasuki fasa baharu yang menuntut kesiapsiagaan, kejelasan dasar dan keberanian membuat keputusan yang sukar,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia mendepani cabaran itu dengan asas yang kukuh didukung kestabilan politik serta kekuatan institusi yang membolehkan daya tahan ekonomi dan keyakinan pelabur dikekalkan.
Namun kata Anwar, realitinya Malaysia kini berada dalam situasi yang memerlukan seluruh negara bersiap siaga dan keutamaan kerajaan kekal jelas.
“Ia bagi memastikan rakyat dilindungi sebaik mungkin, sementara langkah-langkah berhemat diambil untuk menjamin kestabilan ekonomi jangka sederhana dan panjang.
“Dalam keadaan ini, pendekatan kita mesti berlandaskan fakta, disiplin dan rasa tanggungjawab bersama agar setiap keputusan bukan sahaja tepat tetapi adil dan berteraskan ihsan kepada rakyat,” katanya.
