1 APR : Perdana Menteri menemplak pihak yang mengambil kesempatan dengan menyebar berita palsu berkait kenaikan harga ketika negara sedang berdepan cabaran susulan krisis Asia Barat kian meruncing.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak 96 kandungan berita palsu disebarkan di media sosial yang berjaya dikesan setakat ini.
“Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat. Tapi ini tidak mungkin memadamkan karenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat.
“Berapa banyak berita palsu tentang kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, dasar-dasar yang tidak benar.
“Maka kita tidak ada pilihan melainkan memohon kepada pihak berkuasa baik PDRM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan kerana setakat ini MCMC telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Ringkas Perdana Menteri, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihak yang menyebar berita palsu itu lebih memilih langkah khianat ketika negara sedang berdepan cabaran demi keuntungan politik murahan.
“Tujuan apa? Rakyat susah, negara tercabar dan terpaksa mengambil tindakan akibat peperangan di kawasan…negara lain tetapi yang mereka teruskan ialah langkah khianat kepada negara dan rakyat dengan menghebahkan cerita palsu, memperjudikan nasib rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan dan kelangsungan politik sempit,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru rakyat agar menapis dan menyaring berita yang diterima bagi memastikan kesahihan maklumat.
“Sekali lagi saya ingin menyeru rakyat memilih, menyaring berita dan mencari fakta yang betul serta cuba sama-sama memantau keadaan, semak dengan rapi dan mengambil langkah menyelamatkan keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita,” katanya.