1 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan MCMC Nexus, aplikasi mudah alih bagi mengukur prestasi Internet secara masa nyata.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata aplikasi itu membolehkan kualiti rangkaian dipantau dengan lebih berkesan selain mengumpul data liputan rangkaian secara masa nyata yang dihantar terus kepada MCMC untuk tindakan lanjut.
Katanya, data berkaitan lokasi, masa dan koordinat yang direkod menerusi aplikasi berkenaan akan dijadikan panduan untuk memperkukuh ekosistem digital negara.
“Jika sesuatu kawasan menerima banyak laporan berkaitan Internet lemah, ia akan ditandakan dan tindakan susulan akan diambil terhadap syarikat telekomunikasi terbabit.
“Data yang dihantar menerusi aplikasi itu juga akan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan penambahbaikan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan MCMC Nexus pada Selasa.
Pasukan teknikal MCMC membangun aplikasi MCMC Nexus sepenuhnya yang membolehkan pengguna menjalankan ujian kelajuan muat turun, muat naik, ping serta jitter bagi rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi.
Antara ciri utama aplikasi itu ialah fungsi Route Survey dan Building Survey yang membolehkan pengumpulan data berdasarkan lokasi sebenar termasuk di dalam bangunan serta sepanjang laluan pengguna.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata dengan Speed Test, pengguna boleh menguji kelajuan Internet dan kekuatan isyarat sepanjang perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain direkodkan melalui Route Survey.
“Selain itu, fungsi Building Survey membantu menilai kekuatan liputan di dalam bangunan, termasuk di tingkat tertentu yang mungkin mempunyai masalah capaian,” katanya.
