1 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebar maklumat palsu kenaikan tarif elektrik.
Menurut MCMC, maklumat palsu itu disebarkan melalui platform digital termasuk Facebook dan WhatsApp.
MCMC telah memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki telah menyebarkan maklumat berunsur palsu dengan dakwaan berkenaan peningkatan tarif baharu elektrik di platform digital iaitu Facebook, Threads, dan WhatsApp.
“Maklumat palsu itu juga dipercayai menyalahguna elemen reka grafik sebuah agensi berita,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC berkata aduan diterima menyifatkan maklumat itu boleh menimbulkan persepsi negatif dan mencetus panik dalam kalangan masyarakat.
“Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat.
“Hasil semakan mendapati bahawa kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI,” katanya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.