2 APR : Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April ini tidak menjejaskan perkhidmatan dan urusan agensi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah BDR diambil bagi mengurangkan mobiliti pegawai dan mengoptimumkan penggunaan bahan api kenderaan dan kemampanan bekalan tenaga.
“Saya juga ingin memberi jaminan, perkhidmatan dan urusan agensi Kerajaan akan tetap berjalan seperti biasa.
“Dalam hal ini, ketua jabatan akan bertanggungjawab dan memastikan aspek penyeliaan pegawai dan tugasan harian dipantau sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu kerajaan mengumumkan pelaksanaan BDR melibatkan kementerian dan agensi kerajaan bagi tujuan penjimatan susulan kesan konflik Asia Barat yang kian meruncing.
Sementara itu, dalam surat edaran pelaksanaan bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam yang dikeluarkan hari ini memaklumkan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dibenarkan BDR jika jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer (km).
Antara syarat lain adalah pegawai itu berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor serta semua ibu negeri.
Namun sektor keselamatan, pertahanan, kesihatan dan pendidikan dikecualikan daripada BDR.
Sementara bagi negeri yang hari kelepasan mingguan (HKM) hari Ahad, BDR adalah pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.
“Bagi negeri-negeri di mana HKM pada hari Jumaat (Kedah, Kelantan, Terengganu), BDR adalah pada Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari. (Tidak dibenarkan BDR pada Ahad dan Khamis),” menurut surat itu.