2 APR : Rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan konflik di Asia Barat hasil pendekatan kerajaan yang jelas.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan juga perlu bertindak pantas apabila keadaan berubah dan bersedia untuk kemungkinan yang lebih mencabar.
“Kerajaan telah pun mengambil langkah awal untuk melindungi rakyat. Hasilnya RON95 kekal pada RM1.99 seliter dan sokongan diesel diteruskan untuk sektor yang layak
“Rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan krisis ini. Ini menunjukkan pendekatan kerajaan jelas, bukan sekadar bertindak tetapi bertindak secara bersasar,” katanay dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, konflik yang berlarutan akan memberi tekanan berterusan kepada kos tenaga dan rantaian bekalan.
Jelasnya, kesannya kepada rakyat tidak datang sekaligus tetapi secara berperingkat dan semakin berat jika tidak ditangani dengan baik.
“Sehingga kini, sekitar RM4 bilion telah dibelanjakan melalui Inisiatif Sokongan Rakyat yang pada asasnya merupakan satu bentuk stimulus bersasar bagi menyerap kesan kenaikan harga minyak global.
“Stimulus atau inisiatif tambahan seterusnya tidak semestinya berskala besar tetapi perlu lebih tersusun, dilaksanakan secara berperingkat dan diaktifkan apabila keadaan memerlukan,” katanya.
Mengimbau Krisis Kewangan Asia (1998), Krisis Kewangan Global (2008) dan Pandemik COVID-19 (2020) yang dihadapi negara, Tengku Zafrul berkata negara yang mampu bertindak dengan pantas dalam setiap krisis itu.
Katanya, negara juga bersedia menghadapi kemungkinan yang lebih mencabar sekali gus ia akan lebih mampu melindungi rakyat serta lebih cepat pulih.
“Kita semua faham kepentingan disiplin fiskal itu tidak pernah dipersoalkan tetapi dalam situasi krisis, mana-mana kerajaan pun tidak boleh bersembunyi di sebalik angka semata-mata.
“Rakyat sedang berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang nyata, itu realiti harian. Hakikatnya, empati itu sama penting dengan disiplin.
“Bila keadaan memerlukan, saya yakin kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya bukan sekadar menjelaskan, tetapi menyelesaikan. Hari ini mungkin belum memerlukan langkah tambahan,” katanya.
Dalam pada itu, bekas menteri itu berkata tanggungjawab kerajaan jelas dalam memastikan bukan sekadar bersedia tetapi mampu bertindak dengan pantas dan tepat apabila keadaan berubah.
“Saya yakin Perdana Menteri akan terus membuat keputusan yang tepat demi melindungi rakyat dan ekonomi negara,” katanya.