2 APR : Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah ketika kesan konflik Asia Barat semakin dirasai di negara ini.
Penegasan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kali ke-17, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pihak terbabit bakal berdepan tindakan tegas.
Katanya, mesyuarat NACCOL itu tadi menumpu kepada usaha bagi memastikan rakyat tidak terbeban dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
“Dunia hari ini sedang berdepan ketidaktentuan yang semakin dirasai. Konflik di Asia Barat mula memberi kesan kepada rantaian tenaga global dan tempiasnya turut dirasai dalam kehidupan harian rakyat.
“Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata sebagai langkah segera, NACCOL akan bersidang secara berkala sepanjang tempoh ini bagi memastikan setiap isu ditangani dengan pantas dan berkesan.
Dalam masa yang sama, katanya kerajaan memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion bagi tahun 2026 untuk bantuan sosial, subsidi dan insentif peningkatan pendapatan.
“Lebih 13.7 juta rakyat kini menerima manfaat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Jualan Rahmah.
“Inilah komitmen kerajaan dalam memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Insya-Allah, Kerajaan akan terus berdiri bersama rakyat serta memastikan kesejahteraan sentiasa terpelihara walau dalam apa jua keadaan,” katanya.