AG pertahan pertuduhan bunuh kes pemandu mabuk di Klang
3 APR : Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mempertahankan pertuduhan dibuat pihaknya dalam kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33.
Beliau menegaskan keputusan mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dibuat selepas memberi pertimbangan sewajarnya.
“Saya mesti bertindak sebagai penjaga kepentingan awam dan memastikan keadilan untuk keluarga mangsa yang menuntut keadilan yang adil dan saksama. Kematian itu amat tragik. Mengabaikan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain adalah kejam.
“Keterangan saksi dan rakaman kamera papan pemuka daripada kenderaan saksi di lokasi kejadian mengesahkan perlakuan tertuduh.
“Setiap kes mesti diteliti secara berasingan kerana berbeza dari segi fakta dan keadaan. Dengan kata lain, dinilai kes demi kes.
“Jika terdapat elemen yang mencukupi, kami akan mengemukakan pertuduhan sewajarnya,” katanya, lapor MalaysiaKini.
Terdahulu R Saktygaanapathy, 28 yang memandu sebuah Honda City disahkan positif alkohol dan dadah selepas merempuh Amirul, penunggang motosikal tersebut di Klang, Ahad lalu.
Tertuduh kemudiannya didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 302 yang mencetus pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan peguam yang mempertikaikan keputusan Jabatan Peguam Negara meneruskan kes dengan pertuduhan bunuh sejak awal.
Mengulas lanjut, Dusuki menjelaskan tindakan tertuduh yang didakwa sengaja memasuki laluan bertentangan pada kelajuan tinggi mewujudkan keadaan yang amat berbahaya serta-merta kepada mangsa seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
Undang-undang tersebut terpakai apabila seseorang melakukan perbuatan dengan mengetahui ia begitu berbahaya sehingga berkemungkinan besar menyebabkan kematian.