3 APR : Beberapa negara Islam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel yang membenarkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin.
Ia disuarakan menteri-menteri luar dari Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Qatar, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan Knesset Israel menggubal undang-undang yang membenarkan pengenalan hukuman mati di Tebing Barat yang diduduki dan pelaksanaannya secara de facto terhadap rakyat Palestin.
Menteri-menteri luar itu menegaskan perundangan baharu rejim berkenaan berbahaya lebih-lebih lagi pelaksanaannya bersifat diskriminasi terhadap tahanan Palestin.
Kebimbangan turut dizahirkan menteri tersebut terhadap keadaan tahanan Palestin yang dinafikan hak asasi, diseksa dan kebuluran.