4 APR : Bekalan minyak mentah negara mencukupi berikutan Malaysia hanya bergantung kepada 40 peratus (%) import minyak mentah yang melalui Selat Hormuz.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata keadaan itu berbeza dengan negara ASEAN lain yang bergantung hampir 90% import minyak mentah.
“Sejak 2014 hingga 2015 lagi, sudah ada penerimaan hakikat bahawa Malaysia menjadi pengimport bersih. Perkara itu sudah diumumkan oleh kerajaan.
“Susulan adanya pengeluaran tenaga dan kita pengeksport tenaga bersih, ada keyakinan kita masih ada bekalan berbanding dengan rakan-rakan ASEAN lain yang mungkin bergantung kepada import melebihi 90 peratus.
“Tetapi tidak ada kemungkinan kita sebagai satu pasaran pengguna adalah terlindung sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global disiarkan TV1, malam tadi.
Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas menyedari penyusutan pengeluaran minyak mentah domestik yang berlaku secara semulajadi.
“Namun ada usaha penerokaan dan cari gali bersama-sama kontraktor dan pelabur lain namun yang ditemui adalah gas asli, kebanyakannya gas asli dan Malaysia ini adalah kawasan yang mempunyai sumber gas,” katanya.
Mengikut rekod, penghasilan minyak mentah negara mencecah 700,000 tong sehari pada era 1990-an namun kini hanya sekitar 350,000 tong sehari.