6 APR : Sebanyak 15 kapal dilaporkan sudah melalui Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam lalu selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa Iran.
Agensi Berita Fars melaporkan pergerakan kapal di Selat Hormuz ketika ini dianggarkan 90 peratus lebih rendah berbanding sebelum tercetusnya perang Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Sebelum ini, Iran menetapkan syarat mana-mana kapal yang melalui selat itu perlu mendapat kebenaran Tehran.
Tehran hanya membenarkan kapal negara bukan musuh melalui selat penting bagi 20 peratus minyak dunia.
Perang tercetus selepas Israel dibantu AS menyerang Iran pada 28 Februari lalu dan sehingga kini konflik itu semakin meruncing.