6 APR : Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan wang ganti rugi RM50,000 diterima daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan disalurkan ke akaun Wakaf MARA.
Asyraf Wajdi menyatakan perkara itu selepas Mahkamah Tinggi Melaka membuat keputusan berkait kes fitnah melibatkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, hari ini.
“Alhamdulillah, Mahkamah Tinggi Melaka Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa defendan YB Mas Ermieyati mengakui mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap saya dan MARA.
“Sebagaimana janji saya setiap sen RM50,000 wang ganti rugi tidak akan sesekali digunakan secara peribadi, bahkan saya sudah minta pengurusan MARA untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun Wakaf MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik, memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosialnya dan membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada MARA.
“Alhamdulillah, moga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Mas Ermieyati menuduh Asyraf Wajdi membazirkan dana MARA melalui lawatan mengejut, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

*FOTO : FACEBOOK DR ASYRAF WAJDI DUSUKI