7 APR : Iran mengesahkan enam lagi kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz akan mendapat kebenaran untuk melalui laluan itu secara berperingkat.
Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi memaklumkan perkara itu kepada Bernama, hari ini.
“Kami (Iran) akan membenarkan kapal itu melalui laluan berkenaan satu demi satu,” katanya.
Hari ini, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan satu daripada tujuh kapal Malaysia yang terkandas di selat itu diberi laluan selamat dan kini sedang meneruskan pelayaran ke destinasi ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, pencapaian positif tersebut adalah hasil penglibatan diplomatik peringkat tinggi termasuk perbualan telefon yang konstruktif pada 26 Mac 2026 antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian serta antara Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac.
Kedutaan Iran di Malaysia kemudiannya memuat naik kenyataan yang mengesahkan kapal Malaysia yang pertama dibenar berlayar melalui selat itu.