7 APR : Kerajaan tidak menawarkan tambahan kuota bagi petrol RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) seperti yang didakwa.
Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
“MoF menegaskan bahawa dakwaan mengenai permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI95 adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
“Walaupun fungsi ini diwujudkan pada awal pelaksanaan BUDI95, ia bukan bertujuan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi, sebaliknya bagi kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan, seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MoF, fungsi butang permohonan itu sudah dinyahfungsikan susulan disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas.
Mengulas lanjut, MoF menegaskan had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta bekalan kekal stabil.
“Langkah sementara ini diambil berikutan tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah.
“Data menunjukkan had 200 liter mencukupi bagi 90 peratus (%) pengguna BUDI95.
“Pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh membeli RON95 sehingga RM398 sebulan, dengan kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima,” menurut kementerian itu lagi.
Dalam pada itu, MoF menegaskan kerajaan akan terus melindungi rakyat, memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan serta memantau rapi pasaran tenaga global dan bersedia membuat penyesuaian sewajarnya.