7 APR : Satu daripada tujuh kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz sudah diberi laluan selamat.
Wisma Putra memaklumkan perkembangan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, kapal tersebut sedang berlayar menuju ke destinasi yang ditetapkan.
Kementerian Luar berkata keadaan itu hasil penglibatan diplomatik tahap tinggi termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa salah satu daripada tujuh buah kapal komersial milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz berikutan perkembangan situasi di Asia Barat telah diberikan laluan selamat dan kini sedang menuju ke destinasi yang telah ditetapkan.
“Pencapaian positif ini adalah hasil penglibatan diplomatik peringkat tinggi termasuk perbualan telefon yang konstruktif pada 26 Mac 2026 antara Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Masoud Pezeshkian, Presiden Republik Islam Iran serta antara Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri dan Abbas Araghchi, Menteri Luar Iran pada 24 Mac,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Iran mengesahkan kapal Malaysia boleh melalui selat itu dengan selamat tanpa bayaran tol.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi dan keselamatan dalam laluan maritim, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia juga menegaskan semula kepentingan dialog berterusan dan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran serantau untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan,” menurut kementerian itu lagi.
Dalam pada itu, Kedutaan Iran di Malaysia memaklumkan kapal Malaysia yang pertama melepasi Selat Hormuz sambil menekankan republik itu tidak akan melupakan rakan-rakannya.
“Kami telah mengatakan bahawa Republik Islam Iran tidak akan melupakan rakan-rakannya.Kapal Malaysia yang pertama yang telah melalui Selat Hormuz,” menurut Kedutaan itu melalui X.