7 APR : Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan meneliti langkah bagi mempelbagaikan sumber bahan api dan memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir berkata tumpuan kerajaan kini pada usaha memperkukuh ketahanan bekalan domestik.
“Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan agensi berkaitan sedang mengambil tindakan susulan terhadap usaha ini.
“Pada masa sama, Bank Negara Malaysia juga diputuskan untuk melaksanakan sokongan pembiayaan kepada firma yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat krisis tenaga global, hari ini.
Dalam pada itu, Akmal berkata Kementerian Ekonomi akan menyelaras pendekatan dan inisiatif secara menyeluruh bagi memastikan langkah yang diambilbenar-benar berkesan.
“Ini termasuk penyelarasan dengan kementerian berkaitan bagi mengenal pasti tindakan dan intervensi yang sesuai berdasarkan sektor yang terjejas, bukan sahaja bagi jangka pendek malah jangka sederhana memandangkan krisis ini dijangka memberi kesan kepada ekonomi dan proses pemulihan dalam tempoh enam bulan hingga setahun,” katanya.
Sementara itu bagi memastikan keterjaminan ubat dan peranti perubatan negara, kerajaan melaksanakan pemantauan stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan, menetapkan item tertentu sebagai barangan kawalan serta melaksanakan Special Access Pathway bagi memastikan akses kepada keperluan kritikal.