9 APR : Malaysia perlu memperkukuh keterjaminan dan mempercepat usaha peralihan tenaga susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata negara kini berdepan keseimbangan yang halus dengan beralih daripada bahan bakar fosil dan pada masa sama memastikan keterjaminan tenaga terpelihara.
“Keuntungan jangka pendek daripada harga minyak yang tinggi tidak seharusnya mengalih perhatian kita daripada kerentanan jangka panjang.
“Ini kerana keterjaminan sebenar bukan tentang apa yang kita peroleh hari ini sebaliknya apa yang mampu kita kekalkan esok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah berkata tekanan serupa dialami seluruh ASEAN ketika ini dan sejarah menunjukkan ketika krisis sesebuah negara akan menangguhkan peralihan tenaga serta melanjutkan kebergantungan kepada bahan bakar fosil.
“Bagaimanapun, kita harus menolak naluri itu…sesebuah negara tidak diukur berdasarkan janji yang dibuat tetapi melalui apa yang dilakukan secara konsisten, senyap dan penuh keyakinan.
“Peralihan tenaga bukan sekadar kewajipan terhadap iklim…ia satu keperluan strategik…setiap megawatt tenaga boleh diperbaharui yang kita hasilkan secara tempatan adalah satu langkah menjauhi kerentanan dan satu langkah menuju ke arah kedaulatan,” katanya.
