Polisi, dasar kerajaan mesti berteras realiti cabaran semasa
9 APR : Perdana Menteri menekankan setiap polisi dan dasar yang diputuskan mesti berteraskan realiti cabaran semasa serta keperluan masa depan.
Ini termasuk mengambil kira ketidaktentuan akibat krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada kos dan rantaian bekalan.
Perkara itu ditekan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika menyentuh soal isu diesel di negara ini, beliau mengingatkan warga Kementerian Pengangkutan agar mengambil pendekatan mendengar, memahami dan menyelesaikan secara berperingkat.
“Dalam konteks isu diesel, kita harus memahami kesannya terhadap majoriti, khususnya sektor pengangkutan, petani, nelayan, peladang serta pengusaha bas pelancongan.
“Justeru, pendekatan kita mesti berasaskan keupayaan mendengar, memahami dan menyelesaikan secara berperingkat, dengan tuntas serta adil demi menjamin kelangsungan ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, ketika mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pengangkutan, beliau dimaklumkan mengenai pelaksanaan pelbagai projek strategik sepanjang tahun.
Ini termasuk kemajuan projek rel berskala besar seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembangunan infrastruktur pengangkutan yang menjadi pemangkin keterhubungan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu katanya, perbincangan turut merangkumi usaha memperkukuh kerangka perundangan melalui pindaan akta berkaitan, peningkatan penggunaan pengangkutan awam secara lebih menyeluruh serta pemerkasaan modal insan dan pembangunan kerjaya dalam sektor pengangkutan bagi memastikan daya saing industri terus kekal mampan.
