10 APR : Mana-mana syarikat korporat dan industri yang membeli minyak pada harga pam secara diam-diam bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata syarikat berkaitan itu perlu membeli minyak secara terus daripada syarikat minyak pada harga pasaran RM7 hingga RM8 seliter.
“Kerajaan memberi amaran kepada syarikat-syarikat ini untuk menghentikan aktiviti channel switching atau berdepan dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Krisis Tenaga Global, hari ini.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata bagi membanteras penyeludupan dan penyelewengan, kerajaan memperhebat penguatkuasaan di seluruh negara.
Amir Hamzah turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang prihatin dalam melaporkan pembelian RON95 oleh warga asing dan aktiviti mencurigakan di stesen minyak.
“Semangat kebersamaan inilah yang membantu kita dalam menghadapi krisis. Dalam keadaan dunia yang masih tidak menentu ini, kekuatan kita terletak pada kesepakatan, kesederhanaan dan kebersamaan.
“Kita perlu tanamkan semangat dan azam yang kuat sebagai satu masyarakat yang bersatu padu,” katanya.