10 APR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan peningkatan kos ubat-ubatan di Malaysia sekitar 30 hingga 40 peratus susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata industri farmaseutikal menerima kesan langsung daripada kenaikan kos logistik, pengangkutan dan harga minyak.
Katanya, peranti perubatan di hospital turut mencatatkan peningkatan kos yang lebih ketara sehingga 50% atau 100% kerana pembekal sejak Mac lagi sudah enggan menghantar bekalan.
“Mereka put on hold, itu membuatkan sesetengah harga peranti melambung. KKM akan melakukan sehabis baik untuk menyerap kenaikan kos ini supaya khidmat rawatan yang mampan dapat terus dinikmati rakyat.
“Kami mempertimbangkan mekanisme surcharge dan cost pass-through bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sambutan Hari Pendengaran Sedunia, hari ini.
Dalam pada itu katanya, KKM akan merangka pelan mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menampung impak konflik itu.
“Setakat ini sektor kesihatan negara belum ada yang menanggung kesan secara signifikan daripada pergolakan di Asia Barat.
“Bagaimanapun pemantauan akan terus dibuat bersama langkah yang lebih ketat, kami tidak mahu berasa selesa kerana negara perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan,” katanya.
Namun Dr Dzulkefly memberi jaminan keadaan masih terkawal setakat ini dan bekalan ubat-ubatan negara masih mencukupi sehingga Jun.
“Negara mempunyai stok simpanan ubat-ubatan tersendiri sebagai persediaan, Kementerian Kesihatan turut menjalankan perkongsian data dengan pemain industri bagi menjamin bekalan sentiasa mencukupi.
“Insya-Allah tidak akan ada yang ketandusan bekalan ubat-ubatan, kerajaan memberikan penekanan kepada essential drugs seperti insulin, vaksin dan lain-lain.
“Perlu diingat, jangan ada sesiapa yang menyimpan stok ubat-ubatan secara berlebihan kerana ia merupakan tanggungjawab nasional,” katanya.