11 APR : Iran menegaskan tidak mahu berperang dengan Amerika Syarikat dan Israel namun republik itu akan mempertahankan negaranya daripada serangan.
Pemimpin Tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei yang tidak pernah muncul di khalayak sejak pelantikannya dilaporkan melalui mesej bertulis yang disiarkan di televisyen tempatan berkata negaranya tidak mencari peperangan namun tidak sekali-kali melepaskan hak sahnya.
Selain itu, Mojtaba berkata Iran menganggap seluruh pakatan penentangan sebagai satu kesatuan.
Kenyataan itu dilihat merujuk situasi terkini di Lubnan ketika ini di mana rejim zionis Israel terus mempergiat serangan ke atas sekutu Tehran, Hezbullah.
Dalam pada itu, Mojtaba menyeru rakyatnya terus bersatu termasuk menggerakkan demonstrasi awam sebagai solidariti menggesa proses damai mencapai hasil.
Tegasnya, suara rakyat di ruang awam akan memberi kesan terhadap hasil rundingan.
Mojtaba dilantik menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei yang meninggal dalam serangan Israel, 28 Februari lalu.
Beliau kemudiannya dilaporkan cedera dalam serangan Israel dan sedang menerima rawatan.