11 APR : Kerajaan menolak dakwaan kononnya golongan pesawah dipinggirkan dari segi bantuan ketika impak konflik di Asia Barat kian terasa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan ketika harga bahan api meningkat yang melonjakkan harga barang, bukan pesawah semata-mata tapi semua pihak turut terkesan yang turut melonjakkan harga barangan lain.
“Kerajaan tak bantu pesawah? Sejak harga bahan api dunia melonjak, ramai yang terkesan, termasuk pesawah. Lalu timbul tuduhan kononnya KPKM dan kerajaan tidak peduli. Betul ke begitu?
“Ingin Bang Mat jelaskan. Hakikatnya, kenaikan harga minyak ini berlaku di seluruh dunia. Bukan Malaysia sahaja yang terkesan dan perkara ini semua sudah maklum. Bila harga bahan api naik, kos pertanian turut meningkat. Baja naik, racun naik, upah membajak pun naik. Pendek kata, hampir semua kos meningkat.
“Apabila kos meningkat, bukan pesawah sahaja yang terbeban, kerajaan juga turut menanggung tekanan yang besar,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata subsidi bahan api yang terpaksa ditanggung kerajaan melonjak sembilan kali ganda daripada sekitar RM700 juta kepada RM6 bilion.
Justeru itu katanya, semua pihak perlu memahami bahawa sektor yang terjejas akibat gangguan tenaga global bukan padi semata-mata.
“Kita perlu faham bahawa bukan sektor padi sahaja yang memerlukan bantuan. Banyak sektor lain turut terkesan. Kerajaan bukan hanya perlu melihat nasib 200,000 pesawah tetapi juga menjaga kebajikan lebih 30 juta rakyat Malaysia.
“Inilah dilema besar yang dihadapi hari ini. Semua kementerian telah pun menilai kesan awal krisis tenaga global terhadap golongan sasar masing-masing. Hampir semuanya memerlukan intervensi dan tambahan peruntukan.
“Ibarat seorang ayah yang menerima aduan daripada anak-anak, tentulah ayah perlu melihat kemampuan yang ada, dan menentukan siapa yang perlu dibantu terlebih dahulu. Jika ada yang sedikit lewat dibantu, bukan bermakna tidak dipedulikan. Tetapi kerana sedang mencari jalan untuk menambah sumber,” katanya.
Justeru itu katanya, kerajaan mula menyusun semula perbelanjaan dan mencari penjimatan supaya dana dapat disalurkan kepada keperluan yang lebih mendesak.
“Alhamdulillah, setakat ini keadaan negara kita masih terkawal berbanding sesetengah negara lain. Kita belum melihat situasi rakyat beratur panjang untuk minyak atau terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja.
“Bekalan makanan asas juga masih stabil. Suasana kehidupan rakyat termasuk musim perayaan masih dapat diteruskan walaupun dunia sedang berdepan krisis tenaga,” katanya.
Tegasnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah bagi memastikan makanan asas sentiasa ada di atas meja rakyat.
“Sebab itu KPKM antara kementerian terawal dipanggil untuk membentangkan situasi bekalan serta cadangan intervensi kepada MTEN dan Perdana Menteri.
“Walau seteruk mana pun krisis ini nanti, sekurang-kurangnya rakyat mesti ada nasi, protein seperti ayam dan telur, serta sayuran. Ini komitmen kerajaan,” katanya.
Mohamad berkata antara keputusan awal yang sudah diluluskan ialah penambahan stok penimbal beras melibatkan dana tambahan lebih RM100 juta.
Katanya, cadangan lain seperti fleet card untuk jentera pertanian, tambahan kadar Insentif pembajakan dan insentif penuaian padi, kuota diesel kepada vesel C2 serta bantuan one-off kepada pekebun masih dalam penelitian kerana melibatkan komitmen kewangan yang besar.
“Jadi tidak adil untuk mengatakan kerajaan tidak peduli. Permohonan telah pun diangkat sejak selepas cuti Hari Aidilfitri lagi. Namun dalam keadaan krisis, setiap sen perbelanjaan awam perlu diteliti dengan cermat.
“Ingin Bang Mat ingatkan semula, dalam Belanjawan 2026, subsektor padi dan beras menerima peruntukan sebanyak RM2.62 bilion. Bantuan ini merangkumi subsidi harga padi, subsidi baja, insentif benih padi sah serta pelbagai insentif pengeluaran.
“Lebih 50% daripada bajet pengurusan KPKM disalurkan kepada subsektor padi dan beras, menunjukkan komitmen yang besar terhadap kelangsungan subsektor padi dan beras dan kebajikan pesawah,” katanya.
Tegasnya, cabaran sebenar bukan sekadar jumlah bantuan namun struktur industri yang sudah lama tidak diperbaiki.
“Dulu Malaysia pernah mempunyai asas pertanian yang lebih kukuh. Namun apabila negara beralih kepada ekonomi perindustrian, sektor ini tidak lagi diberi penekanan yang sama menyebabkan saban tahun kebergantungan kepada import semakin meningkat.
“Sebab itu, bantuan semata-mata tidak mencukupi. Kita memerlukan perubahan menyeluruh penggunaan teknologi moden, pengurusan sawah berskala besar, sistem pengairan yang lebih cekap serta disiplin dalam rantaian bekalan.
“Langkah ke arah itu sudah pun bermula. Tetapi hasilnya tidak datang serta-merta,” katanya.
Tambahnya, semua pihak boleh mengkritik namun biarlah ia berasaskan fakta bukan sentimen atau atas kepentingan politik sempit.
“Dalam keadaan tekanan harga input pertanian dunia yang tidak dapat dielakkan, utamakanlah keperluan, hindari pembaziran dan elakkan pembelian panik,” nasihatnya.