11 APR : Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kes kematian anggota Tentera Darat Malaysia, Prebet Muhammad Amirul Raziq bin Rosafindi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertegas pihak kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya.
“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian Prebet Muhammad Amirul Raziq bin Rosafindi, anggota Tentera Darat Malaysia susulan insiden di Bentong, Pahang.
“Kementerian Pertahanan memandang serius insiden ini. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya, serta mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas, agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan anggota tentera yang dilaporkan parah akibat dipukul di kem itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital di Temerloh kira-kira jam 9.45 pagi tadi.
Dalam pada itu, Mohamad Khaled berkata Sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia.
“Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.