13 APR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil masa bagi mengatur gerak terhadap keputusan penempatan anggota di stesen minyak di sempadan untuk memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan berikutan peningkatan risiko ketirisan bahan api akibat krisis tenaga global.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM memerlukan masa susulan arahan penempatan itu masih baharu dibuat jemaah menteri.
“Keputusan baru minggu lepas, pihak polis akan ambil masa untuk mengatur gerak, kemudian kita turunkan pasukan kita untuk meningkatkan tugasan tambahan ini seperti mana arahan oleh jemaah menteri.
“Jadi, kita sukat ikut keupayaan kita dengan SOP yang jelas supaya anggota yang ditugaskan tak samar-samar dari segi penugasan. Pertama, perhalusi dulu apa maksud penugasan, akta mana nak diguna pakai, pasukan mana yang kita nak atur gerak. Itu saya serahkan kepada pasukan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Terdahulu, Kabinet meluluskan cadangan penempatan anggota polis di stesen minyak bagi memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan.
Keputusan itu dicapai selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan tentang beberapa penahanan yang dilakukan di stesen minyak di kawasan sempadan.
Dalam ucapan sama, Saifuddin mahu penambahbaikan segera dibuat terhadap fasiliti anggota keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan yang berada dalam keadaan kurang memuaskan.
Katanya, terdapat pos kawalan dan tempat rehat anggota yang daif dan tidak selesa.
“Kita ubah seperti mana kita ubah pos Wang Kelian. Belanja pun tak besar, yang itu kita segerakan untuk tunjuk bahawa kepimpinan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) ambil berat dan benda yang mudah macam tu kita selesaikan,” katanya.
