16 APR : Sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak di bawah 16 tahun akan dilaksanakan hujung Jun ini.
Namun Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan itu masih tertakluk kepada penelitian akhir.
“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sedang melakukan regulatory sandbox (medan uji) dengan platform media sosial untuk mengenal pasti mekanisme yang pada waktu ini dilaksanakan oleh penyedia platform.
“Kedua, untuk menyeragamkan dengan mekanisme yang mungkin kita harapkan, kita tidak mahu sekadar disebut sebagai age assurance (jaminan umur) tapi age verification (pengesahan umur) kerana Malaysia dalam konteks perundangannya berbeza yang mana kita mempunyai dokumen rasmi kerajaan iaitu MyKad,” katanya,
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, hari ini.
Menurutnya, perbincangan terperinci juga dijalankan antara MCMC dengan platform media sosial di Singapura Jumaat lalu berhubung pelaksanaan sekatan berkenaan.
“Sekarang dalam proses meneliti dan mereka (MCMC) akan bawa kepada perhatian saya, mungkin dalam seminggu yang akan datang.
“Kemudian kita akan putuskan, kita harap akan dapat laksanakan sekatan ini mungkin Jun atau Julai ini,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, beberapa platform media sosial sudah menyatakan kesediaan bagi melaksanakan sekatan itu.
Katanya lagi, hasil perbincangan akan dibentangkan sebelum keputusan akhir dimuktamadkan kelak.