22 APR : UMNO lahir 80 tahun lalu daripada semangat kesatuan dan keberanian bangsa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sehingga hari ini usaha dan perjuangan parti itu tidak pernah berhenti.
“11 Mei 2026 genap lapan dekad sebuah perjuangan yang tidak pernah terhenti. Bermula pada tahun 1946, sebagai sebuah gerakan menentang Malayan Union dan mempertahankan kedaulatan tanah air, UMNO lahir daripada semangat kesatuan dan keberanian bangsa.
“Dari langkah pertama itu, terbina perjalanan panjang yang mencorakkan perjalanan negara dari kemerdekaan hingga pembangunan melalui pengorbanan, kepimpinan dan usaha tanpa henti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, 80 tahun usia parti keramat itu bukan sekadar angka sebaliknya satu himpunan sejarah, kejayaan serta cabaran yang membentuk jati diri sebuah perjuangan.
“Inilah kisah tentang ketahanan tentang jatuh dan bangkit dan tentang sebuah legasi yang terus hidup dalam perjalanan masa depan negara,” katanya.
