4 MEI : Kad pengenalan atau MyKad dan pasport Malaysia dengan ciri keselamatan yang baharu sudah sedia untuk dilancarkan bulan depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan keyakinan tempoh bersejarah itu akan dapat dilalui dengan sebaiknya.
“Sambil itu, saya percaya kita menunggu Jun ini sebagai tarikh penting kerana Jun adalah tarikh di mana kita akan meluncurkan dokumen penting kita, sama ada IC (MyKad) ataupun pasport dengan menggunakan semua features, data ciri keselamatan yang baharu.
“Saya percaya JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah pun bersedia dengan pelan A, pelan B.
“Saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah ini dengan baik pada bulan Jun kerana setiap satu tempoh kita perlu mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya dengan ciri keselamatan lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu dan sekarang masanya sudah sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Selain itu, pada Jun juga KDN akan menunjukkan sistem di mana permohonan ataupun pengisian maklumat untuk kewarganegaraan yang kita luluskan dalam Perlembagaan Persekutuan pada dua tahun lepas.
“Kita sudah pun bergerak jauh dengan menyediakan semua prasyarat atau enabler terhadap sistem itu sebelum kita lancarkan,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pasukan pimpinannya dalam kementerian itu yang berdisiplin dan kemas dari segi perancangan.
“Jadi kalau saya tengok balik satu persatu itu, saya berbangga kerana mempunyai satu pasukan yang sangat berdisiplin, kemas dari segi perancangannya dan kita sudah di penghujung.
“Menyaksikan setiap usaha reformasi dan perubahan yang kita buat itu sudah menuju ke penghujung untuk dapat dirasai oleh rakyat terbanyak.
“Dalam erti kata sistem penyampaian yang lebih baik dan kemudian dapat menyelesaikan selama ini yang menjadi rungutan ataupun aduan rakyat kepada kita,” katanya.
