31 MEI : Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk merampas dan memperluas kawalannya ke atas 70 peratus wilayah Gaza.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menegaskan rancangan rejim zionis itu jelas melanggar undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima.
Menurut kementerian itu ia merupakan satu lagi pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB serta Perhimpunan Agung PBB.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan PBB untuk menolak dan membantah rancangan itu, sambil memberi amaran bahawa sebarang cubaan untuk mengubah realiti wilayah Gaza hanya akan terus menjejaskan prospek keamanan dan keadilan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kementerian itu berkata sejak sekian lama Gaza adalah sebahagian daripada Wilayah Palestin malah sebelum penubuhan Israel lagi.
Justeru itu, sebarang tindakan rejim itu untuk mengubah realiti wilayah Gaza hanya akan mengakibatkan ketidakadilan yang lebih ketara serta memburukkan lagi keadaan keselamatan dan keamanan yang sedia rapuh di rantau itu.
“Rakyat Gaza terus menderita akibat tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dibenarkan.
“Sebaliknya, ia dengan jelas mencerminkan niat terancang untuk menafikan hak-hak sah rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat di tanah air mereka sendiri yang merangkumi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu, kementerian itu turut mengulangi solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.
Malaysia juga memberi sokongan berterusan negara terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, katanya.