2 JUN : Kerajaan Perpaduan di Pusat dijamin tidak terjejas dengan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semua pihak perlu menerima hakikat senario politik hari ini sudah jauh berubah dan tiada mana-mana parti politik yang mendominasi lagi.
“Kerajaan Perpaduan masih ada. Hanya kita kena terima hakikat bahawa keadaan sekarang tidak sama seperti dahulu.
“Dalam politik baharu sekarang, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan mendominasi. Mungkin di Pusat kerajaannya begini, manakala di negeri kerajaannya berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata rakyat juga perlu menerima hakikat perbezaan kerajaan yang dibentuk di peringkat negeri dan Persekutuan itu bukan sesuatu yang luar biasa.
“Di Pusat, ada parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi di negeri mereka berada di pihak pembangkang. Di Johor pula kerajaan negeri diterajui sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN).
“Jadi pokoknya ialah bagaimana kita membangunkan satu sikap supaya rakyat boleh menerima bahawa politik negara pada masa akan datang memang akan bergerak dalam keadaan seperti ini,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
BN Johor sebelum ini memutuskan untuk bertanding solo di kesemua kerusi pada PRN ke-16 kali ini.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung Mac 2022, BN menang 40 kerusi dan membentuk kerajaan negeri sementara Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) menang 3 kerusi serta parti Muda 1 kerusi.