3 JUN : Dalam ketidaktentuan global ketika ini, peralihan tenaga bukan lagi sekadar pilihan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata proses itu menjadi keperluan strategik susulan peningkatan permintaan tenaga, ketidaktentuan geopolitik dan sumber bahan api fosil yang terhad.
Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi (PETRA), rizab minyak dan gas dunia masing-masing dianggarkan hanya mampu bertahan sekitar 50 tahun lagi manakala arang batu kira-kira 130 tahun pada kadar pengeluaran semasa.
“Persoalannya bukan sekadar berapa lama bahan api ini akan bertahan, tetapi bagaimana kita dapat mengurus peralihan kepada sistem tenaga yang lebih mampan secara berkesan dan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Energy Transition Conference 2026 (ETCon 2026), hari ini.
Fadillah berkata tenaga solar kini menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui (TBB) negara selain hidro kecil, biojisim dan biogas.
Katanya, berpandukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan terus memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Sementara itu, Fadillah berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur RM43 bilion antara 2025 hingga 2027 bagi memperkukuh infrastruktur grid negara, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong pembangunan tenaga hijau.
Fadillah berkata permintaan elektrik di Asia Tenggara dijangka meningkat sehingga 5 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ia didorong perindustrian, urbanisasi, infrastruktur digital, kenderaan elektrik, keperluan penyejukan dan pusat data AI.