4 JUN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti lebih 600 hantaran palsu terkait isu krisis bekalan global, setakat 6 Mei lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata angka itu mencerminkan betapa seriusnya penularan maklumat palsu yang semakin mencabar ekosistem media masa kini.
“Angka ini menggambarkan betapa seriusnya ancaman maklumat palsu dalam landskap media semasa.
“Di sinilah pentingnya fungsi media untuk terus menjadi benteng utama dalam menangkis penyebaran berita palsu serta sebarang bentuk manipulasi fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, lapan kes hantaran palsu berkaitan isu tersebut membabitkan pelbagai dakwaan termasuk mengenai harga bahan api dan situasi di Selat Hormuz sudah dikompaun dengan nilai keseluruhan RM200,000.
Menurutnya, setiap individu dikenakan kompaun RM25,000 setiap seorang sementara lima lagi kes dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata media perlu memainkan peranan bagi memastikan masyarakat memahami konteks sesuatu perkara itu dengan lebih luas.
“Di tengah-tengah lambakan maklumat digital, media arus perdana mesti berfungsi sebagai ejen yang menapis dan menjernihkan kekeruhan maklumat, bukannya menambah ‘kebisingan’ atau kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.