5 JUN : Barisan Nasional (BN) terbuka untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pandangan itu dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meski PH Negeri Sembilan mengumumkan akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya di Negeri Sembilan, biarpun itu adalah keputusan daripada pentadbiran kerajaan negeri melalui parti-parti komponen dalam PH.
“Tentunya kita sangat terbuka bukan sahaja untuk terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, namun tentunya terlalu awal untuk kita tidak mengadakan rundingan bagi menentukan bahawa di Negeri Sembilan ini, Kerajaan Perpaduan akan dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Semalam, sejurus mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan, Pengerusi PH negeri itu, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan gabungan berkenaan akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN dalam PRN ke-16 itu kelak.
Mandat DUN Negeri Sembilan ke-15 yang dibentuk pada Ogos 2023 itu masih berbaki lebih dua tahun dan sepatutnya tamat pada September 2028.
Pada PRN itu, PH memenangi 17 kerusi, diikuti 14 kerusi oleh BN dan 5 kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN).