6 JUN : Pendaki yang dilapor hilang di Gunung Batu Putih, Perak Jaslinda Saludin sejak 23 Mei lalu ditemui selamat di Kampung Lubuk Gaharu berhampiran Pos Musoh, hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin berkata pihaknya dimaklumkan komuniti Orang Asli berkenaan penemuan wanita berusia 49 tahun itu.
Terdahulu, tular gambar dipercayai Jaslinda sedang makan di sebuah rumah.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon memaklumkan mangsa ditemui kira-kira jam 3 petang tadi berhampiran perkampungan berkenaan.
Menurutnya, Jaslinda ditemui seorang lelaki yang kemudiannya memaklumkan anak saudara mangsa yang berada di Johor agar melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Orang hilang sekarang berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu,” katanya.
Pada 23 Mei lalu, Jaslinda bersama 13 lagi individu dan dua malim gunung memulakan pendakian Trans Spencer Chapman jam 2 pagi.
Pendakian melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Namun Jaslinda dan seorang pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41 mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki.
Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung sebelum gagal dikesan dan terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.