6 JUN : Melaka tidak bercadang untuk mengikut jejak Johor dan Negeri Sembilan yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tiada keperluan untuk Melaka berbuat demikian ketika pentadbiran negeri kekal stabil dan tempoh penggal DUN ITU hanya akan berakhir hujung tahun ini.
“Kita tidak mahu mengikut rentak yang dimainkan orang lain. Kita tidak akan menari mengikut muzik mereka. Rentak mereka, rentak mereka. Rentak Melaka, rentak Melaka.
“Suasana dan keadaan di Johor tidak sama dengan Melaka, begitu juga di Negeri Sembilan yang tidak memerlukan Melaka membubarkan DUN secara segera.
“Kita akan terus menjalankan urusan kerajaan dan menyantuni rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis doa selamat di kediamannya di Masjid Tanah selepas menunaikan ibadah haji, malam tadi.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata sebarang keputusan berkaitan pembubaran DUN perlu mengambil kira kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu, beliau akui tidak merasa tertekan dengan desakan sesetengah pihak agar membubarkan DUN Melaka.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan PRN Melaka diadakan serentak dengan negeri lain jika keadaan memerlukan.
“Saya mempunyai perkiraan dan aturan yang perlu diselesaikan mengikut pentadbiran serta urusan kerajaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Politik adalah seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya.
Menurutnya, Melaka akan menghantar jentera ke Johor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN yang bakal diumumkan kelak.
“Namun sebagai negeri jiran, kita akan memberikan kerjasama membantu jentera BN bagi memenangkan parti di Johor dan Negeri Sembilan.
“Hasil keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri itu nanti akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat di Melaka,” katanya.