13 JUN : Umat Islam perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pemikir dan pencipta inovasi yang mampu memacu pembangunan masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata teknologi beretika tidak lahir daripada sistem semata-mata namun wujud daripada insan yang memiliki ilmu, nilai dan hikmah.
“Sebab itu pembangunan negara tidak boleh hanya tertumpu kepada pertumbuhan fizikal dan ekonomi. Asas yang lebih penting ialah pembangunan insan.
“Kita mahu melahirkan generasi yang berilmu, berprinsip, berkemahiran dan mampu membuat pertimbangan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Sarjana Asia Tenggara ke-4 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Ahmad Zahid berkata amalan Islam yang sederhana di rantau ASEAN dengan budaya kesantunan dan kepelbagaian masyarakat mampu menawarkan model teknologi beretika tanpa menghakis nilai serta identiti umat Islam.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengingatkan bahawa maklumat palsu kini bergerak merentasi sempadan negara dan fahaman ekstrem semakin mudah menular melalui platform digital.
“Ketidakseimbangan ekonomi memberi tekanan kepada masyarakat, kemanusiaan, termasuk penderitaan khususnya rakyat Palestin, terus menguji nurani umat Islam dan masyarakat dunia.
“Dalam situasi ini, sarjana Muslim di rantau ini mesti membina kesepakatan dalam isu-isu utama iaitu mempertahankan keamanan, memelihara keharmonian sosial, membangunkan teknologi beretika, mengangkat ilmu sebagai asas dasar serta menegakkan Islam sebagai rahmatan lil alamin.
“Bagaimanapun, kesepakatan mesti diterjemahkan kepada tindakan dan bukan sekadar kata-kata,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap Persidangan Sarjana Asia Tenggara kali ini mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan rangkaian tetap ulama di rantau ini melalui penyelidikan rentas sempadan, penerbitan kertas dasar bersama, pertukaran akademik dan platform dialog berkala antara sarjana serta pembuat dasar.
“Ia adalah agenda Diplomasi Intelektual yang perlu dimajukan bukan sekadar berbicara tentang teori, sebaliknya berani membantu menyelesaikan masalah umat.
“Diplomasi yang merungkai kekeliruan, meredakan ketegangan, menghubungkan ilmu dengan dasar serta memimpin masa depan dengan hujah yang matang, adab yang tinggi dan maqasid yang jelas,” katanya.
